doshheaderbm

Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Bergelimpangan disambar api
Breadcumb Caption
  • Arkib Berita
  • 2014
  • Bergelimpangan disambar api

Bergelimpangan disambar api

Berita Harian Online, 3 April 2014

 

11 pelanggan gerai makan melecur terkena percikan api tumpahan petrol

Gua Musang: “Suasananya cukup menakutkan apabila melihat mangsa yang melecur, bertempiaran lari sambil menjerit kesakitan dan meminta tolong.

“Ada mangsa yang terbakar keseluruhan badan sanggup terjun ke dalam longkang demi memadamkan api,” kata Ruzita Awang, saksi kejadian kebakaran yang menyebabkan 11 pelanggan kedai makan melecur di Dataran Kesedar Petra, di sini, malam kelmarin.

Ruzita, 30, yang juga pemilik sebuah gerai makan berdekatan, berkata ketika kejadian dia sedang makan di gerainya sebelum dikejutkan dentuman kuat dan api marak secara tiba-tiba.

“Ketika itu saya lihat beberapa pengunjung bergelimpangan disambar api. Ada yang berlari menyelamatkan diri. Letupan pertama bermula di bahagian dapur membakar burger, sebelum disusuli beberapa letupan lain.

“Keadaan semakin cemas apabila beberapa letupan merebak kepada kenderaan termasuk empat kereta meletup. Saya tergamam melihat kejadian itu tanpa sempat berbuat apa-apa kecuali membawa tiga anak perempuan lari menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Pelanggan melecur teruk
Beliau bersama keluarga yang mengusahakan gerai makan di situ sejak 15 tahun lalu tidak menyangka kelalaian pihak tertentu menyebabkan kebakaran hingga pengunjung medan selera di situ melecur teruk.

“Walaupun kebakaran ini kali pertama berlaku, namun kami dapati aliran minyak dari stesen yang terletak berdekatan itu sudah kerap berlaku tetapi tiada sebarang tindakan diambil selama ini,” katanya.

Suri rumah, Masiah Hasbullah, 53, pula sedih melihat keadaan anaknya, Nurul Isah Mohd Yusoff, 20, yang kini kritikal menggelupur kesakitan dan kulit pada kedua-dua tangannya mula menggelembung.

Masiah berkata, dia mengetahui kejadian itu jam 10.30 malam kelmarin apabila dihubungi kakitangan Hospital Gua Musang memaklumkan kejadian menimpa Nurul Isah sebelum bergegas melihatnya.

“Keadaan Nurul kini sangat menyedihkan, hampir keseluruhan badannya melecur teruk kerana pakaiannya melekat di tubuh,” katanya ketika ditemui di wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, semalam.


Tiba-tiba disambar api

Masiah berkata, sebelum kejadian, anaknya yang juga pelajar Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) bersama tiga rakan baru tiba di gerai makan terbabit dan sempat memesan air batu campur sebelum mereka tiba-tiba disambar api.

“Dalam kesakitan, Nurul beritahu saya, sebelum itu dia dan rakannya terhidu bau petrol dan melihat ada cecair mengalir tidak jauh dari tempat duduk mereka.

“Belum sempat mereka berbuat apa-apa, api secara tiba-tiba menyambar mereka,” katanya yang berasal dari FELDA Chiku 3, Gua Musang.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, menasihati pemilik premis yang terbabit dalam mengendali bahan mudah terbakar di negeri ini, supaya sentiasa berhati-hati bagi mengelak kejadian yang boleh mengorbankan nyawa.

“Saya sedih dengan kebakaran besar yang berlaku di Gua Musang, malam kelmarin, yang menyebabkan ramai pengguna cedera, selain beberapa kenderaan terbakar.

“Saya merakamkan takziah kepada mangsa yang terbabit dan kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan melalui Tabung Serambi Makkah. Saya akan melawat mangsa nanti,” katanya.

 

Cetak Emel