Cadangan Pengharaman Asbestos
Asbestos merupakan mineral semula jadi yang ditemui di dalam tanah dan batu yang terhasil dari serat yang berbeza-beza saiz dan bentuk, mempunyai daya ketahanan yang tinggi terhadap panas dan kebanyakan bahan kimia. Banyak digunakan untuk membuat pelbagai barang industri, sebahagian besar atap, bahan penebat, lantai seramik, produk-produk simen asbestos, produk automobil (klac dan brek kenderaan), tekstil, gasket dan lapisan perlindungan.
Namun begitu asbestos adalah bahan kimia toksik yang boleh menyebabkan kanser paru-paru dan penggunaannya telah diharamkan di 41 buah negara di dunia. Pada tahun 2006, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah menyarankan semua negara di dunia mengharamkan asbestos.
Kawalan penggunaan asbestos di tempat kerja dijalankan secara perundangan dengan penguatkuasaan Peraturan Kilang dan Jentera (Peraturan Asbestos) 1986 dan Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya Kepada Kesihatan) 2000 kepada industri yang terlibat untuk memberi kesedaran dan kefahaman majikan dalam menangani masalah pendedahan pekerja dan pengawalan kepada bahan asbestos. Perintah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Larangan Penggunaan Bahan) 1999 termasuk Krosidolit(Asbestos) juga telah dikuatkuasakan pada 2 Ogos 1999. Dengan ini bahan kimia asbestos jenis krosidolit adalah dilarang digunakan ditempat kerja.
Namun begitu Operasi penguatkuasan Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya Kepada Kesihatan) 2000 kepada tempat kerja yang menggunakan bahan kimia asbestos pada tahun 2009 menunjukkan peratus pematuhan industri amat tidak menggalakkan dengan notis pembaikan dikeluarkan untuk majikan menjalankan tindakan kawalan yang sepatutnya.
Walaupun jumlah pengeluar produk dari bahan berasaskan asbestos setakat ini hanyalah 17 buah tempat kerja sahaja, tetapi para pengguna, penyenggara kenderaan (pusat servis) yang menggunakan dan mengendalikan produk ini tidak dapat disenaraikan. Ini amat membimbangkan kerana pendedahannya bukan sahaja akan mengakibatkan kesan kesihatan jangka panjang tetapi kehilangan nyawa malah melibatkan sejumlah bayaran pampasan ke atas setiap pekerja yang terlibat.
Oleh yang demikian, bagi mengurangkan pendedahan pekerja kepada kesan jangka panjang bahan kimia asbestos, pengharaman semua jenis asbestos di tempat kerja sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh banyak negara hendaklah dikuatkuasakan secara perundangan. Sekiranya ini dapat dilaksanakan produk berasaskan asbestos akan berkurangan dan jumlah pencegahan penyakit pekerjaan disebabkan asbestos dapat diturunkan.