Peraturan-Peraturan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (Pengelasan, Pelabelan Dan Helaian Data Keselamatan Bahan Kimia Berbahaya) 2013 [P.U.(A) 310/2013]
Peraturan - Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pengelasan, Pelabelan dan Helaian Data Keselamatan Bahan Kimia Berbahaya) 2013 (Peraturan CLASS) telah diwartakan pada 11 Oktober 2013.
Peraturan CLASS merupakan satu peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514). Peraturan CLASS ini bagi menggantikan Peraturan - Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pengelasan, Pembungkusan dan Pelabelan Bahan Kimia Berbahaya) 1997 (Peraturan CPL). Peraturan CLASS merupakan kawalan dalam bentuk perundangan untuk memastikan pembekal menyediakan maklumat yang mencukupi berkaitan bahaya bahan kimia bagi memastikan risiko kemalangan dan penyakit pekerjaan yang berkemungkinan wujud hasil daripada aktiviti-aktiviti yang dijalankan di tempat kerja dapat dikawal pada tahap rendah, seterusnya menyediakan suasana dan keadaan tempat kerja yang selamat dan sihat.
Di bawah Peraturan CLASS, pembekal perlu menjalankan pengelasan, pelabelan, penyediaan Helaian Data Keselamatan, pembungkusan dan penghantaran maklumat inventori bahan kimia. Dalam peraturan ini, pembekal ditakrifkan sebagai seseorang yang membekalkan bahan kimia berbahaya, dan termasuklah pembekal utama (seseorang pembekal yang merumus, mengilang, mengimport, mengitar semula atau merumus semula bahan kimia berbahaya) dan pembekal subsidiari (seseorang pembekal yang membungkus semula, mengedar atau menjual secara runcit bahan kimia berbahaya).
Peraturan CPL yang sebelum ini digunakan sebagai mekanisme kawalan pembekalan bahan kimia berbahaya ke tempat kerja di Malaysia telah mula dikuatkuasakan pada 15 April 1997. Walaupun demikian memandangkan kini Sistem Terharmoni Global Bagi Pengelasan dan Pelabelan Bahan Kimia (GHS) sedang giat dilaksanakan di seluruh dunia, Malaysia turut mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan GHS dalam sektor industri dengan pewartaan Peraturan CLASS bagi menggantikan Peraturan CPL yang sedia ada.
Info Berkaitan:
- Peraturan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (Pengelasan, Pelabelan Dan Helaian Data Keselamatan Bahan Kimia Berbahaya) 2013
- Tataamalan Industri Mengenai Pengelasan Bahan Kimia dan Komunikasi Hazard, 2014 archive [ ZIP ] pdf [ PDF ]
- pdf Surat Pemberitahuan Pewartaan Kod Tataamalan Industri bagi Pengelasan Bahan Kimia dan Komunikasi Bahaya
- pdf Senarai Pernyataan Bahaya dan Pernyataan Berjaga-jaga
- folder Senarai Piktogram Bahaya
- Laman Sesawang Chemical Information Management System
- FAQ
Untuk sebarang pertanyaan, sila emel kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.