doshheaderbm

Breadcumb Caption
  • Sumber
  • Arkib
  • Arkib Berita
  • 2012
  • ‘Kita siasat dahulu’
Breadcumb Caption
  • Sumber
  • Arkib
  • Arkib Berita
  • 2012
  • ‘Kita siasat dahulu’

‘Kita siasat dahulu’

Metro Online, 31 Oktober 2012

PUTRAJAYA: “Kita buat siasatan dulu. Buat masa ini, kita tak boleh komen apa-apa lagi kerana tak tahu setakat mana penyebarannya, siapa yang menyebar, di mana, jadi kita siasat dulu,” kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan mengenai pengedaran risalah bertajuk ‘Indonesian maids now on sale’.

Menurutnya, beliau akan meminta agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk melakukan siasatan terhadap perkara berkenaan.

“Jabatan Tenaga Kerja akan menyiasat perkara ini,” katanya ringkas selepas ditanya pemberita mengenai penyebaran iklan itu selepas merasmikan Persidangan Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Risalah yang mengandungi iklan pembantu rumah Indonesia itu dikatakan diedarkan di sekitar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur dan menjadi topik hangat di Internet ketika ini. Malah, ia turut disiarkan media massa republik itu seperti The Jakarta Post dan Antaranews.com Beberapa pihak dari republik itu termasuk Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) mengecam keras penyebaran iklan berkenaan kerana menganggap ia satu bentuk penghinaan dan merendahkan Indonesia.

Sementara itu, Maznah yang juga Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berkata, kadar kemalangan di tempat kerja khususnya membabitkan mereka berulang-alik dari rumah ke tempat kerja meningkat setiap tahun.

Menurutnya, sebagai contoh bagi 2010 sejumlah 22,036 kes direkodkan, manakala pada 2011 sejumlah 24,809 kes dan bagi tempoh sehingga Ogos tahun ini menunjukkan peningkatan 5.6 peratus.

“Kebanyakan kes membabitkan pekerja berusia 40 tahun atau pekerja produktif. Ia sesuatu yang mendukacitakan bagi keluarga dan majikan,” katanya. Justeru, katanya bagi mengurangkan kadar kemalangan itu, kempen kesedaran dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh).

“Tetapi yang penting majikan sendiri perlu memainkan peranan untuk memastikan pekerja mereka mengikuti peraturan jalan raya yang ditetapkan. Di kalangan pekerja sendiri mesti ada kesedaran,” katanya.

Cetak Emel