Breadcumb Caption
  • Resources
  • Archive
  • Archive News
  • 2012
  • Mangsa terakhir kapal MISC yang terbakar dijumpai dalam perut kapal
Breadcumb Caption
  • Resources
  • Archive
  • Archive News
  • 2012
  • Mangsa terakhir kapal MISC yang terbakar dijumpai dalam perut kapal

Mangsa terakhir kapal MISC yang terbakar dijumpai dalam perut kapal

Borneo Post Online, 31 July 2012

LABUAN: Mangsa kelima insiden kebakaran kapal tangki Bunga Alpinia milik Malaysian International Shipping Corporation (MISC) Khamis lepas ditemui semalam dalam perut kapal yang hangus akibat kebakaran itu.

Mayat Mohammad Nazrin Khamsani, 20, dari Kuala Lumpur ditemui terperangkap dalam perut kapal itu yang digenangi air pada kira-kira jam 1.45 tengah hari ini, demikian menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Labuan melancarkan gerakan mencari mangsa terakhir sejak semalam setelah kapal itu didapati selamat untuk dimasuki berikutan proses penyejukan kapal selesai, yang membawa kepada penemuan mayat itu.

Anggota bomba dan penyelamat yang terlibat dalam misi itu menggunakan tali untuk menaikkan mayat Mohammad Nazrin, yang merupakan krew kapal tangki Bunga Alpinia.

Kapal tangki Bunga Alpinia terbakar dan meletup di jeti terminal Petronas Chemicals Methanol Sdn Bhd berdekatan dengan Pulau Enoe, zon industri Rancha-Rancha, pada kira-kira jam 2.32 pagi Khamis lalu.

Empat lagi mangsa yang terkorban dalam tragedi itu ialah Syahril Azmi Baharudin, 28, dan Mohd Hanafi Khalil, 24, kedua-duanya dari Melaka, Zahari Hassim, 46, dari Negeri Sembilan dan Colanggoy Errol Calaluan, 22, krew warga Filipina.

Anggota keluarga, rakan mangsa, pihak forensik, petugas rumah mayat Hospital Labuan difahamkan mengalami sedikit kesukaran untuk melakukan proses pengecaman berikutan keadaan mayat yang melecur dan mengembang.

Bercakap kepada Bernama semalam, Ketua Polis Labuan Penguasa Saiman Kasran menyifatkan penemuan lima mangsa insiden itu atas hasil usaha bersepadu pelbagai pihak termasuk polis, marin, bomba dan penyelamat, Jabatan Laut dan Semenanjung, agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia dan juga penduduk kampung.

“Kita berharap misi operasi menyelamat telah berakhir dengan penemuan mangsa kelima hari ini (semalam),” katanya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Zainal Madasin berkata penglibatan pasukan bomba dan penyelamat dalam operasi pencarian dan menyelamat itu memberi kesan kepada kredibiliti kebombaan dalam operasi lautan yang turut melibatkan bahan kimia.

“Ianya berbaloi, meskipun anggota terpaksa berkampung sejak hari kejadian, kami akhirnya dengan kerjasama pelbagai pihak berjaya menjumpai mayat terakhir di dalam kapal berkenaan,” katanya.

Anggota Parlimen Labuan Datuk Yussof Mahal dalam pada itu turut melahirkan simpati dengan kejadian yang menimpa mangsa dan mengucapkan takziah kepada anggota keluarga mangsa.

MISC dalam satu kenyataan semalam berkata pihak berkuasa dan pakar industri yang dilantik MISC sedang berusaha membersihkan sedikit tumpahan minyak dari Bunga Alpinia bagi memastikan alam sekitar dilindungi dan persekitaran penduduk di kawasan itu terpelihara.

Mengenai spekulasi panahan petir menjadi punca kebakaran kapal berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemicals Group Bhd Dr Abd Hapiz Abdullah berkata siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar.

Ini kerana ia berhubung kait dengan kredibiliti aspek keselamatan yang diambil di jeti terminal Petronas Methanol Labuan, katanya. — Bernama

Print Email